Tuesday, October 19, 2010

Bot Ekspress Karam Di Tatau, BIntulu.


Info diambil daripada para blogger dan juga akhbar tempatan seperti Berita Harian dan The Borneo Post.

=============================================
AlexKayongTm
http://alehkayong.blogspot.com/2010/10/bot-ekspress-tatau-11-selamat-6-maut-13.html



BINTULU: “Semuanya kelam-kabut, tetapi saya dapat memecahkan tingkap bot dan berenang keluar,” kata Silo Gerenang, 58, seorang daripada tujuh penumpang yang selamat selepas sebuah bot ekspres karam di Sungai Kakus, Kelebu di sini, semalam. Menurut Silo, sebaik bot yang membawa lebih penumpang itu terbalik selepas berlanggar dengan bot tunda balak di Ulu Sungai Anap, suasana menjadi kelam-kabut dengan jeritan penumpang meminta tolong dan ada juga berasak mencari jalan keluar menyelamatkan diri.

“Kejadian berlaku sekelip mata dan kebanyakan penumpang gagal menyelamatkan diri kerana terperangkap. Saya bersyukur dapat keluar dan berenang ke tebing sungai sebelum dibawa orang ramai ke hospital,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, sebuah bot yang sarat dengan 30 penumpang terbalik selepas bot dinaiki tersangkut tali tongkang dan 19 daripadanya masih hilang dan dikhuatiri lemas.

Sehingga jam 8 malam tadi, empat mayat ditemui manakala nasib yang lain belum diketahui. Dua mayat ditemui kira-kira jam 8 malam dan kira-kira 40 minit kemudian, satu lagi mayat yang belum dikenal pasti identiti ditemui dalam bot terbabit.

Selang lima minit kemudian mayat keempat ditemui ketika bot ekspres yang terbalik ditarik naik ke permukaan menggunakan sebuah tongkang lain.

Difahamkan, bot ekspres berkenaan tidak menyediakan jaket keselamatan kepada penumpang dan ketika kejadian ia membawa penumpang berlebihan.

Tragedi semalam mengimbas kembali beberapa kejadian bot karam di Sarawak membabitkan kehilangan ramai penumpang.

Pada April 1999, 12 pelajar Sekolah Menengah Pusa maut apabila bot laju yang mereka naiki berlanggar dengan kapal pengangkut kayu di Sungai Saribas dan sehari selepas itu, sekali lagi penduduk mendapat berita buruk apabila tujuh penumpang mati lemas selepas bot pukat tunda berlanggar tongkang pasir di sungai yang sama.

Manakala pada April 2005, kira-kira jam 4 pagi, bot pukat tunda dinaiki 16 penumpang dari Kuching ke Beladin berlanggar dengan tongkang membawa pasir menyebabkannya tenggelam mengorbankan tujuh nyawa.

Tragedi paling besar pernah tercatat dalam sejarah pengangkutan di Sarawak ialah kapal MV Pulau Kidjang, kapal pengangkut penumpang dan kargo yang karam di muara Sungai Rejang (perairan Tanjung Jerijeh) pada Disember 1973. Dalam kejadian itu, Pulau Kidjang yang dipercayai mampu memuat seramai 150 penumpang mengorbankan 121 nyawa penumpang dan hanya 38 orang terselamat dalam kejadian yang berlaku disebabkan keadaan cuaca buruk ketika pelayaran.-Sumber Metro.

Menurut lapuran Utusan Sarawak setakat pagi 19/10/10 11 selamat , 6 maut , 13 atau lebih masih belum diketahui nasib mereka .Berdasar maklumat yang diperolehi daripada Pejabat Daerah Polis Tatau ,pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian kira-kira jam 3.10 petang semalam dan sejurus itu anggota polis Tatau bersana-sama Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan bantuan Polis Marin bergegas ke lokasi kejadian bagi tugas-tugas menyelamat.

Ucapan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa.

==========================================
Berita Harian Pnline
Oleh Misiah Taib dan M Hifzuddin Ikhsan
bhnews@bharian.com.my
2010/10/19
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Empatmautnahasbot/Article/




TATAU: Tragedi perlanggaran sebuah bot ekspres dengan tongkang balak di Sungai Kakus dekat sini, petang semalam, yang mengorbankan empat penumpang manakala sembilan lagi masih hilang, sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai aspek keselamatan perkhidmatan pengangkutan berkenaan. Ini berikutan seorang penumpang yang terselamat, mengesahkan semua kira-kira 30 penumpang bot ekspres yang dalam perjalanan dari Pekan Tatau ke Hulu Kakus, tidak memakai jaket keselamatan.


Silo Gerenang, 48, dari Rumah Panjang Polik, Nanga Rungan, Kakus, berkata dia juga tidak pasti sama ada bot itu menyediakan jaket keselamatan.

Dalam tragedi kira-kira jam 2.30 petang itu, bot ekspres berkenaan dikatakan terbalik dan karam selepas berlanggar dengan tongkang balak di Sungai Kakus dekat Kem Pembalakan Kelebu, Nangga Kakus. Bot ekspres itu bertolak dari Pekan Tatau pada jam 1.30 tengah hari.

Menurut saksi, perlanggaran itu berlaku ketika bot ekspres berkenaan cuba memotong tongkang terbabit.
Sehingga jam 12 tengah malam tadi, mayat empat penumpang ditemui termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima bulan, manakala sembilan lagi dikhuatiri lemas. Seramai 17 penumpang pula terselamat.

Mayat kanak-kanak perempuan berusia lima bulan itu dijumpai terapung berhampiran lokasi nahas sejurus kejadian, manakala mayat seorang lelaki ditemui terperangkap dalam bot itu pada jam 8 malam selepas di tarik ke darat.

Operasi menarik bot ekspres bermula jam 6 petang dan hanya berjaya ditarik ke darat pada kira-kira jam 8 malam.

Ketua Polis Daerah Tatau, Deputi Superintendan Wan Zaizuddin Wan Jaafar, berkata mayat ketiga ditemui pada jam 8.45 malam juga di dalam bot itu, manakala satu lagi mayat dijumpai pada jam 8.50 malam sebelum operasi mencari dan menyelamat dihentikan berikutan cuaca gelap.

"Setakat ini kita percaya sekurang-kurangnya sembilan penumpang termasuk wanita dan kanak-kanak masih hilang apabila bot ekspres itu karam selepas tersangkut pada tali tongkang balak," katanya.


Difahamkan, bot ekspres itu cuba memotong tongkang yang diletakkan berdekatan kem pembalakan sebelum ia bergesel. Bot berkenaan kemudian cuba memotong tongkang berkenaan sekali lagi, namun gagal kerana tersangkut pada tali yang digunakan kapal tunda untuk menarik tongkang itu.

Zaizuddin berkata, pihaknya terpaksa menarik bot ekspres yang tenggelam menggunakan kren balak sebelum menemui tiga penumpang yang terperangkap di dalamnya.



"Semua mayat mangsa yang ditemui dihantar ke Hospital Bintulu menggunakan bot. Saya harap keluarga mangsa tidak masuk ke lokasi kejadian kerana bimbang ia akan mengganggu operasi mencari," katanya.


Antara 17 mangsa yang terselamat dan mendapat rawatan di Hospital Bintulu ialah Zamhari Azmi, 39, Chai Ngim Fat, 39, Mohamad Dol, 44, Elizabert Ang Dian, 28, Enes Oliver Suping, 2, Hellena Mena, 3, Jekson Ukit, 39, Silvia Jakson Kassim, 1, Emilia Jekson, 1, Lio Jok, 50 dan Dayang Rezalina, 27, manakala enam lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.


======================================
GAMBAR KERATAN AKHBAR DARI BORNEO POST
----------------------------------------------------------------------------




======================================


Info daripada Blogger yang lain

TATAU: "Saya mendengar jeritan wanita dan tangisan kanak-kanak, tetapi tidak dapat melakukan apa-apa," kata seorang penumpang yang terselamat menceritakan detik cemas apabila bot ekspres dinaikinya bersama 29 penumpang lain terbalik dan tenggelam ke dasar Sungai Kakus, dekat Kem Pembalakan Kelebu, Nangga Kakus di sini, petang semalam.

Silo Gerenang, 48, dari Rumah Panjang Polik, Nanga Rungan, Kakus, berkata kejadian jam 2.30 petang itu berlaku dalam sekelip mata menyebabkan ramai penumpang gagal menyelamatkan diri terutama wanita dan kanak-kanak.

“Ketika itu keadaan menjadi kelam-kabut dan saya hanya mendengar suara jeritan serta tangisan kanak-kanak. Saya sempat keluar dari tingkap bot itu ketika ia mula tenggelam, sebelum berenang ke tebing sungai," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Beliau berkata, kejadian itu berlaku apabila bot ekspres dinaiki mereka cuba memotong tongkang di hadapan tetapi gagal dan bergesel dengan tongkang berkenaan.

“Selepas itu pemandu bot ekspres cuba melencong dan ketika itulah ia tersangkut pada tali yang digunakan kapal tunda bagi menarik tongkang berkenaan, sebelum terbalik dan terus tenggelam," katanya yang turut mengesahkan semua penumpang tidak memakai jaket keselamatan ketika itu.


Beliau juga tidak pasti sama ada bot itu menyediakan jaket berkenaan.
Nahas itu berlaku kira-kira jam 2.30 petang ketika bot ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Pekan Tatau ke Hulu Kakus. Bot ekspres itu bertolak dari Pekan Tatau pada jam 1.30 petang.

Seorang lagi penumpang yang terselamat, Jonson Uket, 39, berkata beliau yang berada dalam bot ekspres itu bersama isteri dan seorang anak perempuannya sempat keluar menyelamatkan diri melalui tingkap bot berkenaan.

"Syukurlah saya sempat menyelamatkan diri bersama isteri dan anak. Pekerja pembalakan di Kem Kelebu yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian membantu menyelamatkan kami tiga beranak dan membawa kami ke tepi," katanya.


Seorang lagi penumpang, Mohd Dol, 46, yang juga kakitangan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bintulu berkata, bot ekspres itu cuba memotong tongkang di satu selekoh menyebabkannya bergesel.

"Kejadian berlaku terlalu pantas dengan saya juga hanya sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi," katanya.
Rino%20%40%20Reynold%20%5B7DSM%5DQuantcast